PUTRAJAYA: Seorang lagi ejen di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah bagi mendapatkan nombor giliran untuk mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan sah.
Perintah reman selama empat hari sehingga 25 Mac 2025 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Assayidatun Najwa Muhammad Nasution selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, suspek dipercayai telah menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan nombor giliran bagi proses pemeriksaan kenderaan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan.
“Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan operasi yang dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) semalam, membabitkan siasatan terhadap beberapa individu yang dipercayai terlibat sindiket ejen bagi mempercepatkan proses pemeriksaan kenderaan tanpa mengikuti peraturan yang sah.
“Suspek telah ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” katanya.
Sumber berkata, maklumat daripada Bahagian Penguatkuasa JPJ mendapati terdapat beberapa individu telah menyalahgunakan sistem tempahan pemeriksaan Puspakom dengan membuat tempahan secara pukal menggunakan nombor kenderaan secara rawak.
Tambahnya, modus operandi individu terbabit adalah menawarkan tarikh-tarikh tempahan yang telah dibuat kepada pelanggan dengan bayaran ratusan ringgit bagi setiap slot pemeriksaan sebelum membuat penjadualan semula tarikh untuk membolehkan permohonan baru dibuat ke dalam sistem.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN