BANGI: Senarai dalam Jadual Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 perlu dibuat penambahan dengan memasukkan jenis bahan kimia baharu bagi membolehkan pertuduhan dapat dilakukan di mahkamah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum ini hanya 110 jenis bahan kimia yang disenaraikan di bawah Jadual Akta Racun 1952.
Bagaimanapun, menurutnya, sebanyak 1,000 jenis dadah disenaraikan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
“Bahan kimia dadah yang dicampur itu tidak tahu dari mana dan sebab itu apabila menggunakan mesin Tims-Tof ia dapat mengesan semua bahan yang ada di dalam dadah itu.
“Ini dapat membantu kita mengenal pasti bahan kimia yang ada di dalam itu, namun jika kita kesan bahan baru yang tidak ada dalam akta disenaraikan itu ia akan menghadapi kesukaran dari segi aspek perundangan.
“Sebab itu ia perlu dibuat pindaan tambahan senarai dalam Jadual Akta Racun 1952. Insya-Allah tambahan senarai bahan kimia dimasukkan ke dalam akta, ia tidak akan memakan masa yang lama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Untuk Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Bidang Sains Forensik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Univeriti Kebangsaan Malaysia di Bangi, di sini hari ini.
Tambahnya, dua mesin Tims-Tof yang dimiliki polis ini masing-masing berharga RM2 juta dan RM3.9 juta membantu dalam meningkatkan kecekapan mengenal pasti dan menganalisis ancaman dadah dengan pendekatan saintifik.
Mengulas mengenai rampasan dadah, Ayob Khan berkata, sejak Januari 2024 hingga Februari lalu, sebanyak 115 tan dadah bernilai RM1.7 bilion dirampas.
“Polis telah menahan lebih 300,000 individu membabitkan penagih, pengedar dan tokan,” katanya. – UTUSAN