MELAKA: Mangsa kemalangan yang maut dalam kejadian di Jalan Sungai Putat, Melaka Tengah di sini lewat malam tadi, sempat membeli pelbagai kelengkapan rumah
seperti almari dan rak sebagai persiapan menyambut Aidilfitri buat ibunya.
Jamilah Kamaluddin, 48, berkata, anaknya itu, Muhammad Syabil Hamiki Mohamad Subar, 27, juga telah berjanji mahu membelikan sebuah meja untuk rumah mereka.
“Dalam tempoh dua bulan ini, arwah sering membeli kelengkapan rumah.
“Memang terdetik dalam hati saya kenapa kali ini dia begitu kerap membeli barang, tetapi saya tidak menyangka rupa-rupanya itulah persiapan terakhirnya buat kami sekeluarga.
“Terakhir, arwah ada berjanji nak belikan kami sebuah meja tetapi tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.10 malam itu, Muhammad Syabil yang menunggang motosikal Yamaha MT-25 dari arah AEON Ayer Keroh ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat meninggal dunia selepas dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang keluar dari simpang.
Menurut Jamilah pada hari kejadian, Muhammad Syabil keluar bekerja seperti biasa pada pukul 10 pagi sebelum pulang sebentar ke rumah untuk berbuka puasa bersama mereka sekeluarga.
“Kami sempat berbual mengenai persiapan baju raya. Ketika itu, kami sempat bertanya kepadanya mengenai persiapan baju raya dan dia hanya menjawab tidak perlu membeli kerana dia tidak akan beraya pun.
“Arwah memang jarang meraikan Aidilfitri kerana sering perlu bertugas pada hari raya pertama, jadi saya rasa tidak terkejut dengan jawapan dia, tetapi tidak menyangka ia perbualan terakhir kami,” katanya.
Jenazah Muhammad Syabil akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pondok Batang, Jasin.-UTUSAN