JOHOR BAHRU: Sembilan ahli kongsi gelap yang disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang ahli kongsi gelap lain di sebuah restoran di Taman Setia Indah, di sini pada 8 Januari lalu berjaya ditahan polis baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mereka ditahan dalam beberapa operasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 8 Mac dan 17 Mac lalu.
Suspek utama, iaitu lelaki berusia 64 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan itu telah ditembak mati polis ketika operasi pertama dijalankan.
“Pada pukul 3.10 pagi, 8 Mac lalu, polis berjaya mengesan suspek utama di Taman Molek di sini sebelum cuba menahannya, namun berlaku insiden berbalas tembakan sebelum suspek ditembak mati.
“Pada hari sama, antara pukul 5 hingga 6 pagi, enam suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Ah Siang, manakala tiga lagi ditahan antara pukul 9.45 pagi hingga 1 petang di Jalan Bukit Meldrum pada 17 Mac,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, kesemua suspek berusia antara 36 hingga 66 tahun kini ditahan reman hingga 30 Mac ini bagi membantu siasatan.
“Dalam beberapa siri serbuan itu, polis turut merampas dua pistol, sepucuk pistol angin, beberapa butir peluru serta dadah disyaki jenis heroin. Salah satu daripada pistol dirampas dipercayai telah digunakan suspek utama dalam kejadian pembunuhan di Taman Setia Indah,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada 8 Januari lalu, seorang lelaki berusia 40 tahun maut ditembak dengan empat das tembakan ketika sedang makan di sebuah restoran Taman Setia Indah, di sini. – UTUSAN