PUTRAJAYA: Seorang calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024, Muhammad Al Fateh Mohd Faizal,12, bertuah kerana berpeluang menyemak keputusan UPKK di hadapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Namun, apa yang lebih manis anak sulung daripada empat beradik itu berjaya memperoleh keputusan 9A bagi UPKK 2024 dan menerima ucapan tahniah daripada Mohd Na’im.
Muhammad Al Fateh yang juga pelajar Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI Abdullah Ibn Mas’ud (SIRAJ AIM) Presint 11, adalah antara calon UPKK 2024 yang hadir pada majlis pengumuman keputusan UPKK 2024 di sini, hari ini.
Dia yang ditemui pemberita mengakui berdebar apabila diberi peluang menyemak keputusan secara langsung di sisi menteri termasuk jemputan yang hadir.
“Saya akui berdebar dan tidak menyangka kerana berpeluang menyemak keputusan di hadapan seorang menteri. Namun, Alhamdulillah saya dapat 9A.
“Saya bersyukur kerana hasil penat lelah terbalas dengan mendapat keputusan cemerlang ini,” katanya.
Selain Muhammad Al Fateh, kebanyakan calon yang hadir pada majlis itu turut mendapat keputusan cemerlang 9A.
Seramai 22,351 daripada 236,986 calon UPKK 2024 berjaya mencatat keputusan cemerlang A dalam kesemua sembilan mata pelajaran peperiksaan itu. – UTUSAN