KUALA TERENGGANU: Beberapa daerah di Terengganu berisiko dilanda banjir bermula esok hingga Isnin ini berikutan hujan lebat kategori waspada yang diramal berterusan sepanjang tempoh tersebut.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara kawasan yang berisiko terjejas ialah di daerah Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.
Berdasarkan ramalan itu, beberapa sungai utama di Terengganu seperti Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Terengganu, Sungai Ibai dan Sungai Kemaman berisiko melimpah jika hujan lebat berterusan berlaku.
“Sehubungan itu, PRABN menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai agar berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Metereologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori waspada pada pukul 12.45 tengah hari inii yang dijangka berlanjutan hingga Isnin. – UTUSAN