SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan melaksanakan operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penguat kuasa bagi menerjah satu persatu kilang haram yang memproses sisa elektronik (e-waste) di seluruh negeri.
Ini kerana, kilang-kilang tersebut dikenal pasti beroperasi di tempat yang tersorok sama ada dalam kawasan ladang sawit ataupun hutan untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, premis pemprosesan e-waste adalah kilang haram yang tidak diberikan lesen ataupun kebenaran pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti tersebut.
“Mereka menyorok di sana, sini untuk mengelak daripada dicekup atau ditangkap kerana tidak dapat mematuhi piawaian atau kriteria ditetapkan oleh pihak berkuasa, jadi mereka terpaksa masuk hutan dan sebagainya untuk menjalankan aktiviti haram itu.
“Biasanya operasi bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), polis, pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan kena turun sekali baru boleh terjah dan cekup mereka yang melakukan pemprosesan e-waste,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan penduduk di sekitar Kuala Langat, Klang dan Hulu Selangor mendakwa, kilang memproses e-waste yang beroperasi di sekitar penempatan mereka sering melepaskan bahan toksik yang mencemarkan kualiti udara, air dan tanah di kawasan tersebut.
Akibat tindakan tidak bertanggungjawab itu, penduduk di sekitar daerah itu termasuk di Banting, Jenjarom, Sijangkang, Olak Lempit, Teluk Panglima Garang, Pulau Carey, Meru, Kapar, Rasa dan lain-lain kini menderita akibat pencemaran.
Wakil penduduk, Pua Lay Peng dari Kampung Baru Sungai Jarom, Jenjarom berkata, mereka sudah berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai operasi kilang e-waste haram sejak 2019 lagi.
Selain itu, Suee Lim turut memberitahu kilang pemproses e-waste tidak termasuk dikategorikan dalam premis dibenarkan untuk melalui program pemutihan kilang tanpa kebenaran (KTK) yang sedang dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri ketika ini.
“Kita memang dalam proses membuat pemutihan, kalau mereka dalam kategori zon A, memang boleh buat pemutihan. Kalau bukan zon A, kita akan beri mereka lesen sementara selama tiga tahun, kemudian mereka kena cari tempat dan menjadi zon B.
“Kalau e-waste bukan proses di kilang tanpa kebenaran, tetapi memang tak ada lesen langsung. Dia terjah sini dan sana, jadi pasukan penguatkuasa kena ambil tindakan tegas,” jelasnya. – UTUSAN