PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor akan menganjurkan Festival Raya 108 Jam Tanpa Henti di Pusat Konvensyen Setia City bermula 21 hingga 25 Mac depan.
Penganjuran Festival Raya Selangor Havoc 2025 dengan kerjasama Havoc Event & Management Sdn. Bhd. menampilkan 180 vendor menjual pelbagai persiapan Aidilfitri.
Exco Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, penganjuran festival yang disertai jenama terkemuka itu bertujuan membantu mengembangkan ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain memudahkan orang ramai membuat persiapan Aidilfitri nanti.
“Kerajaan negeri turut membawa usahawan-usahawan Selangor yang sedang meningkat naik supaya mereka memanfaatkan festival ini sebagai platform memperkenal produk masing-masing.
“Kita berharap penganjuran program ini memberi sokongan kepada ekosistem keusahawanan Selangor sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan negeri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd. Najwan memaklumkan acara yang mendapat sokongan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Tourism Selangor turut diselitkan program kerohanian.
“Kita jangka festival yang dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 itu dirasmi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada 21 Mac nanti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management, Datuk Firdaus Nadxaman berkata, festival tahun ini bukan sahaja bertujuan mengangkat industri perniagaan tempatan, malah turut membawa elemen spiritual dan kebersamaan kepada pengunjung.
“Kami mahu memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung dengan menampilkan bukan sahaja sesi hiburan dan jualan raya, tetapi juga nilai tambah dari segi kerohanian.
“Ini adalah usaha kami untuk menyatukan elemen duniawi dan ukhrawi dalam satu acara yang komprehensif,” katanya. – UTUSAN