Sekolah vernakular tidak halang perpaduan kaum - Utusan Malaysia

Sekolah vernakular tidak halang perpaduan kaum

NEOW CHOO SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekolah vernakular tidak menghalang perpaduan antara kaum yang sudah dibuktikan generasi terdahulu yang hidup dengan semangat saling melengkapi tanpa dipengaruhi sentimen perkauman yang keterlaluan.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seng berkata, sehubungan itu cadangan seorang Exco Pemuda UMNO supaya sekolah vernakular ditutup tidak wajar sebaliknya isu pendidikan perlu ditangani dengan bijaksana, berlandaskan fakta dan tidak dijadikan alat untuk memecahbelahkan rakyat.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN berkata, melalui sistem pendidikan yang terbuka dan progresif yang telah melahirkan rakyat Malaysia yang mampu menguasai lebih daripada satu bahasa, ia merupakan satu kelebihan yang patut dibanggakan.

“Malah realiti hari ini menunjukkan semakin ramai ibu bapa Melayu termasuk dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri, menghantar anak mereka ke sekolah vernakular kerana kualiti pendidikan yang lebih tegas dan berdisiplin serta peluang untuk mempelajari bahasa tambahan seperti Mandarin.

“Statistik juga membuktikan bahawa bilangan pelajar Melayu di sekolah vernakular semakin meningkat setiap tahun.

“Jika sistem ini dikatakan sebagai penghalang kepada perpaduan, mengapa sebelum ini kita mampu hidup dalam harmoni dan saling menghormati?

“Malah, generasi terdahulu lebih memahami konsep perpaduan kerana mereka hidup dengan semangat saling melengkapi tanpa dipengaruhi oleh sentimen perkauman yang keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pendidikan vernakular bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya sikap chauvinistik segelintir pemimpin politik yang suka memainkan sentimen perkauman dan agama adalah punca sebenar ketegangan kaum.

Beliau berkata, Pemuda BN perlu lebih rasional dan berhujah dengan fakta serta rasa tanggungjawab terhadap cadangan tersebut dan tidak terikut-ikut dengan rentak dan gaya segelintir pemimpin DAP yang gemar bermain dengan sentimen perkauman semata-mata mahukan publisiti politik.

Katanya, pemimpin Pemuda BN harus jelas dengan prinsip perjuangan parti yang berlandaskan kesederhanaan dan keharmonian nasional dalam sebuah negara berbilang bangsa.

“Kita juga tidak boleh lupa sejarah perjuangan kemerdekaan yang menuntut perpaduan dan kebersamaan. Jangan sesekali kita gadaikan prinsip asal BN hanya kerana sentimen politik semasa.

“Prinsip yang BN pegang sejak sekian lama adalah integrasi, bukan asimilasi.

“Hakikatnya, selama BN memerintah, sistem dan dasar pemerintahan yang inklusif, khususnya dalam pendidikan dan ekonomi telah membawa kepada kemajuan pesat negara,” katanya.

Sebelum ini, Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali mencadangkan kepada pihak-pihak yang membicarakan soal perpaduan negara dengan idea supaya sekolah vernakular dimansuhkan jika sejarah semua kaum diajar bermula di sekolah rendah.

Ini susulan cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dari DAP agar buku teks sejarah sekolah rendah memasukkan sejarah semua kaum di Malaysia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN