Sekarang orang fokus jual satu genre lagu - M.Nasir

Sekarang orang fokus jual satu genre lagu – M.Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Balik-balik lagu dia lebih kurang sama sahaja,” demikian antara komen dilontarkan warganet ketika mengulas mengenai prestasi lagu dalam album yang diterbitkan seorang artis tempatan. 

Komen sebegitu bukan sekali dilontarkan tetapi cukup kerap sehingga membawa persoalan, adakah penting untuk seorang artis memiliki kebolehan untuk menyanyikan pelbagai genre lagu? 

Kami mendapatkan buah fikir komposer prolifik Datuk M.Nasir untuk bercerita mengenai perubahan muzik dan corak nyanyian dalam empat dekad penglibatanya sebagai penggiat seni negara. Jawablah M.Nasir!

J: Datuk fikir, adakah seseorang perlu mempunyai kebolehan menyanyikan pelbagai jenis genre lagu untuk menjadi penyanyi besar negara?

N: Penyanyi besar pada masa dulu mereka mempunyai repertoire yang pelbagai membuatkan kita seronok mahu dengar. Sekarang, orang fokus kepada lagu yang boleh jual, satu genre sahaja seperti balada. Sebab itu bila tengok, kita rasa semua sama. 

Itu adalah kenyataan hari ini, kalau ada orang mahu mengubah, silakan kalau berani. Jika artis nama besar mahukan lagu, komposer tidak akan buat lagu yang mereka suka sendiri. Mesti akan cari lagu yang terbukti berjaya (terjual). 

J: Maksudnya, bukanlah penyanyi dan komposer kita tidak boleh tawarkan muzik berbeza, cuma mereka tidak berani?

N: Keberanian benar juga, tapi tengok nasib sebab banda ini banyak liku. Dulu syarikat rakaman ada artis dan repertoire (A&R) yang bertugas kumpul komposer, penerbit. Masing-masing ada tugas dan dunia sendiri. Penerbit paling penting, mereka ada kekuatan yang besar dalam menghasilkan lagu. 

Sekarang, orang tidak fikir sangat sebab mereka mahu hasilkan semuanya sendiri. Kita boleh tengok ada yang memilih menjadi indie sebab mereka tidak mahu ditekan orang lain. Mereka mahu bebas. Kalau buat, menjadi, jalan. Kalau ada elemen viral, maka menjadilah.

J: Ketika Datuk mengumpulkan lagu Melayu terbaik sepanjang 100 tahun, apa perbezaan ketara lagu dahulu berbanding kini? 

N: Lagu tahun 50-an walaupun dihasilkan dengan teknologi yang sederhana, mereka banyak bercerita tentang cara hidup. Daripada kisah raja, tragedi, komedi, rakyat, nelayan dan rumah tangga. Ada banyak tema. Sekarang tidak, kebanyakan komposer hasilkan lagu yang dekat dengan anak muda, lagu tema cinta. 

Bukan masyarakat kita tidak mahu tema berbeza, cuma tiada komposer yang mahu menawarkan lagu itu. Untuk hasilkan lagu sebegitu, mereka kena dekat sesuatu perkara itu barulah boleh disampaikan. Cara lagu itu dihasilkan pula mesti kena dengan citarasa sekarang. 

J: Itu dari aspek kandungan dan penulisan lagu, bagaimana pula dari segi perubahan muzik?

N: Muzik hari ini ada yang diambil daripada melodi lama cuba gubahan dan bunyinya berbeza. Lagu 50-an dihasilkan sebelum ada pengaruh muzik barat. Jadi muzik Melayu ketika itu ada unsur bunyian daripada Arab macam lagu Nuri Terbang Malam. Bila sudah masuk era 60-an, kita mula serap pengaruh muzik barat sampai hari ini.

Tapi apa yang saya mahu tekankan, di era 50-an, walaupun ketika itu pengetahuan muzik sangat kurang, namun mereka mampu hasilkan lagu yang ikonik pada dunia hiburan ketika itu.

J: Apa yang membuatkan Datuk fikir lagu-lagu Melayu terbaik ini perlu didokumentasikan?

N: Zaman kini orang-orang sudah tidak lagi dengar lagu-lagu lama kecuali jika mereka dengan radio klasik. Sebagai aktivis seni, saya fikir lagu begini perlu diperkenalkan semula. Perkara ini bukan tujuan komersial semata-mata, tapi semoga ia boleh dibawa ke meja perbincangan untuk mereka tahu apakah identiti sebenar muzik Melayu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya