BUKIT JALIL: Penyanyi baharu, Amad Fadlin dan Dina Rjeu tampil berkolaborasi untuk sebuah lagu raya yang berjudul, Sejahtera Raya Bersama sempena Syawal ini.
Menurut Amad, Sejahtera Raya Bersama merupakan lagu rasmi bagi sebuah syarikat korporat, Kuala Lumpur Wellness City (KLWC) yang mempamerkan simbol kegembiraan dan kebersamaan di Aidilfitri.
“Sebenarnya, ini pertama kali saya menyanyikan lagu raya untuk syarikat korporat. Sebelum ini saya pernah ada beberapa lagu raya sendiri. Jadi saya berasa amat berbesar hati dengan kolaborasi ini.
“Kolaborasi ini sangat unik kerana lagu ini turut diselitkan dengan nyanyian bangsa Cina dari Datuk Seri Dr Vincent Tiew selaku Pengarah Eksekutif Penjenamaan, Jualan & Pemasaran KLWC.
“Seperti kita tahu Malaysia terdiri daripada berbilang kaum. Sentuhan spontan itu secara tidak langsung menonjolkan sisi keharmonian rakyat Malaysia. Mungkin suatu hari nanti lagu ini boleh diputarkan pada musim perayaan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Dina turut mengakui dirinya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk menyanyikan lagu raya yang membawa sebuah makna mendalam.
“Untuk proses pembikinan lagu ini saya buat dalam masa satu hari sahaja. Sangat ringkas dan sekejap sahaja masa untuk siapkan lagu ini.
“Proses rakaman juga dilakukan secara berasingan kerana pada awalnya sda vokal Amad sahaja. Bila dah masukkan suara saya baru ada keseimbangan dan harmoni pada lagu itu,” kongsi Dina.
Amad dan Dina telah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis Sejahtera Raya Bersama KLWC, baru-baru ini.
Selain itu, lagu ini juga tampil dengan cabaran tarian #SejahteraRayaChallenge yang berpeluang untuk memenangi iPhone16 serta hadiah menarik lain.
Sekadar info, Dina merupakan vokalis utama sebuah kumpulan baharu, All-Girls Pop Rock Galau Band yang terkenal dengan gaya muzik pop rock, funk, dan jazz yang unik.
Manakala, Amad pula pernah menjadi penyanyi di bawah syarikat rakaman Suria Records dan tampil menerusi beberapa lagu seperti Melodi Cinta, Mimpi atau Realiti dan Raya Hey Raya. -UTUSAN