Sediakan visa palsu, pegawai imigresen diperintah bela diri

Sediakan visa palsu, pegawai imigresen diperintah bela diri

SHAMSUDIN Ishak hadir bagi keputusan pertuduhan menyediakan visa palsu di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai imigresen diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan menyediakan visa palsu di bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibaca Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tersebut terhadap tertuduh, Shamsudin Ishak, 51.

Selain itu, mahkamah menyatakan pertuduhan yang dikemukakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) terhadap tertuduh tidak cacat daripada segi undang-undang.

“Berdasarkan keterangan yang telah diperuntukkan, mahkamah telah membuat pertimbangan maksimum dan mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan keseluruhan elemen bagi kesalahan di bawah Seksyen 26 (e).

“Oleh itu memutuskan bahawa kes prima facie telah berjaya diasaskan. Selaras dengan Seksyen 180 (3) Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh dengan ini diperintahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan selama dua hari iaitu pada 8 dan 9 Mei ini bagi mendengar pembelaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman, Christopher Enteri Anak Mawan dan Nadia Izahar manakala tertuduh diwakili peguam T. Harpal Singh.

Pada 5 Januari 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan dua pegawai imigresen termasuk seorang wanita yang menghadapi tuduhan pemerdagangan manusia, dibebaskan dengan jaminan sehingga perbicaraan kes mereka selesai.

Shamsudin didakwa menyediakan visa palsu di bawah program MM2H untuk warga Vanuatu, Li Xing Qiang di Pejabat Imigresen Putrajaya pada Jun 2022. Kesalahan di bawah Seksyen 26 ATIPSOM itu diklasifikasikan sebagai pemerdagangan manusia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya