KUALA LUMPUR: Pelakon, Fattah Amin mengakui dia masih belum mampu memadam sepenuhnya rasa sedih selepas bercerai dengan aktres, Nur Fazura.
Kata pelakon yang berusia 34 tahun itu, disebabkan itu, dia menyibukkan diri dengan bekerja agar dirinya tidak terbuai dengan perasaan.
“Walaupun lelaki, saya juga manusia yang ada masanya terbuai dengan perasaan.
“Tapi, saya cuba sibukkan diri dengan bekerja setiap hari supaya saya tidak melayan kesedihan.
“Tambah pula sudah masuk bulan Ramadan, inilah masanya untuk saya dekatkan lagi diri dengan Tuhan, bukan buat perkara yang bukan-bukan,” katanya ketika sidang media drama Bidaah terbitan Viu Malaysia baru-baru ini.
Fattah dan Fazura bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lepas. Keduanya berpisah selepas lapan tahun bergelar suami isteri.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya.
Disoal adakah dia rimas kerana cerita-ceritanya sering ditular dan disebarkan, Fattah hanya menganggap perkara itu sebagai situasi yang perlu dihadap oleb mereka yang bergelar selebriti.
“Sebagai selebriti, Itu bayaran yang perlu saya tanggung. Apa sahaja yang saya buat mencuri perhatian masyarakat.
“Tinggal lagi kita bertanggungjawab untuk pastikan perkara yang tular itu adalah yang baik,” kongsinya.