KUALA LUMPUR: Ratu Rock Malaysia, Ella Aminuddin, meluahkan rasa kagum terhadap juri yang bersikap terus terang mengkritik persembahan peserta dalam mana-mana pertandingan nyanyian.
Kata Ella, dia memandang tinggi keberanian juri-juri berkenaan yang bercakap benar meskipun tindakan mereka disifatkan ‘kasar’ bagi sesetengah pihak.
“Saya salute mereka kerana ada keberanian berbuat begitu.
“Kalau saya mahu, saya boleh sahaja buat begitu (kritik persembahan orang lain).
“Tapi saya tak tergamak melakukannya. Saya orangnya bukan macam itu.
“Saya tak sampai hati buuat begitu, lukakan perasaan orang lain dengan komen-komen yang kasar,” katanya yang ditemui sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rockqueen Ella dan Rumah Bakti Nur Syaheera.
Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin sebelum ini pernah mengisi kerusi juri jemputan untuk pertandingan Gegar Vaganza musim ke-6.
Penyanyi berusia 58 tahun itu juga sebelum ini pernah menjurikan program Mask Singer terbitan Astro.
Ella pada masa yang sama memaklumkan dia buat masa ini terpaksa menolak tawaran menjadi juri program nyanyian atas kekangan masa.
“Jujur, memang saya ada terima tawaran jadi juri pertandingan nyanyian. Bukan saya tak mahu, tapi masa terlalu terhad,” katanya. – UTUSAN