Memulakan langkah baharu dengan imej bertudung sejak mendirikan rumah tangga tahun lalu,penampilan Syasya Rizal yang sebelum ini turut dikenali sebagai Syasya Dolla begitu mudah meraih pujian ramai.
Bak kata orang, sejuk sahaja mata yang memandang kerana imej sopan itu menyerlahkan lagi keayuan dan kemanisan bekas anggota kumpulan Dolla ini sebagai seorang wanita matang.
Maklum sahajalah, sebelum ini, perkataan seksi itu seringkali tidak pernah terlepas daripada terpalit kepada dirinya apatah lagi Dolla juga membawakan konsep girl group ala-ala kumpulan K-pop yang lincah dan energetik ketika beraksi di pentas.
Bagaimanapun, apabila Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal menukar penampilan baharu sebegini, ditambah pula dengan keterbukaannya untuk kembali mewarnai dunia seni suara selepas berehat seketika sejak berkahwin, ada satu persoalan mula bermain di minda ramai.
Adakah Syasya merasakan dirinya terbatas untuk melakukan kerja-kerja seni dan menyanyi apabila kini sudah bertudung manis?
Menolak andaian seperti itu, Syasya memberitahu, meskipun masih dalam fasa mencuba-cuba, pemakaian tudung dan penampilan sopan yang kini sedang diusahakan bagaimanapun tidak mengehadkan dirinya untuk aktif kembali dalam dunia nyanyian.
Malah, dia juga mengakui cukup selesa dengan penampilan baharu itu.
“Berasa terganggu itu tidak. Saya pun dah bawa imej yang berbeza, jadi apa-apa yang saya nak keluarkan arau potretkan diri sejak mula bertudung itu, saya kena pastikan ia dapat menyerlahkan sisi dan personaliti saya.
“Maksudnya walaupun bertudung, mungkin ada imej sopan yang sesuai untuk saya sebagai penyanyi.
“Sebenarnya, Alhamdulillah, saya selesa sahaja dengan imej ini,”katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Universal Music Malaysia di ibu negara, kelmarin.
Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, penyanyi berusia 24 tahun ini tidak menolak adakalanya berhadapan dengan ‘peperangan’ dalam diri yang menguji iman nipisnya.
Namun, kata Syasya, setiap kali gejolak perasaan itu datang, dia sedaya upaya menepis dan meyakinkan diri bahawa pilihan baharunya ini adalah jalan terbaik.
“Mungkin rasanya untuk kembali ke imej dahulu itu adalah langkah yang sangat senang sebab nak kekal istiqamah itu bukan mudah.
“Cara terbaik nak kekal istiqamah itu, bagi saya, kita sendiri yang kena ada fikiran yang positif. Kalau kita sentiasa ada fikiran positif, insya-Allah umur kita pun akan panjang.
“Satu lagi saya selalu rasa seseorang itu perlu ada sistem sokongan yang kuat terutama daripada ahli keluarga,”katanya.
Berkongsi lanjut, jelas Syasya, dia bersyukur kerana suaminya, Nasrullah Mohd Sapie, sangat membantu dan menyokongnya daripada aspek ini sehingga membuatkan dirinya bersemangat untuk mencari idea penampilan bertudung yang lebih cantik dan sesuai untuknya.
“Alhamdulillah, Nas sangat-sangat rajin. Contohnya, adakala bila dia terjumpa tutorial tudung yang menarik di Tiktok, dia tunjuk dan katakan mungkin saya sesuai pakai tudung gaya begitu begini.
“Jadi bila dia sokong dan cakap saya cantik dengan gaya tudung begitu, saya jadi lebih teruja mahu mencuba pelbagai jenis gaya tudung lagi.
“Sokongan itu penting sebab jika tidak kita pun akan rasa down,”tuturnya.
Tambah cahaya mata?
Dalam pada itu, mengusik Syasya dengan pertanyaan sama ada dia kini sudah bersedia untuk menambah ahli baharu dalam keluarga kecilnya selepas kehadiran Muhammad Yassir Hayyan hujung tahun lalu, penyanyi ini sempat tertawa kecil.
Kata Syasya, dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran atau limitasi tentang soal zuriat kerana baginya, apa sahaja yang Allah kurniakan, tentu ia adalah yang terbaik buat dirinya dan suami.
“Saya ini pun baharu sahaja dapat ‘badan’ ini balik selepas melahirkan Yassir. Tak adalah, saya ini sebenarnya percaya kepada rezeki. Kalau Allah bagi saya rezeki anak lagi dalam waktu terdekat, saya terima sahaja.
“Sebab macam orang katalah, anak ini juga pembawa rezeki kepada kita. Kalau ada, adalah. Kalau tiada pun tak mengapa mungkin ada rezeki lain,”katanya.
Bagaimanapun, secara berseloroh, Syasya mendakwa suaminya pernah menyebut jika boleh mahu anak ramai bak satu pasukan bola sepak.
“Dia pernah cakap macam itu tahu. Paling penting, sebelas anak lelaki. Ya Allah, kalau sebelas anak lelaki bosan juga saya sebab tak ada anak perempuan.
“Baju budak lelaki pula macam itu sajalah, biasa. Kalau ada anak perempuan bolehlah saya pakaikan macam-macam gaya comel. Nanti maknya tiada geng, Yassir okeylah sebab boleh jadi geng bapanya,”katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai lagu rayanya bersama Nur Fazura yang berjudul Raya Pum Pang, Syasya meluahkan rasa gembira kerana ia diterima baik oleh peminat dan pendengar.
Malah, bercerita mengenai kolaborasinya dengan Fazura, kata Syasya dia sebenarnya tidak menyangka berpeluang terlibat dalam projek lagu raya ini bersama selebriti popular tersebut.
“Bila Universal Music buka peluang untuk saya berkolaborasi dengan Fazura menerusi lagu raya ini, saya tiada sebab pun untuk menolak sebab memang ia satu perkara yang menarik.
”Kak Faz pula bagi saya sangat kelakar. Sebab ‘vibe’ dia membuatkan saya hampir terlupa bahawa dia itu pangkat kakak kepada saya. Dia seolah-olah nampak sebaya dengan saya.
“Saya memang gembira dapat bergandingan dengan Kak Faz. Mulanya saya rasa takut juga, takut dia garang. Rupanya dia seorang yang sangat ‘chill’, macam Kak Long pun ada sebab dia suka beri nasihat dan penyayang,”katanya. -UTUSAN