Pengarah dan penerbit, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri merupakan antara figura hebat yang dikagumi oleh kebanyakan penggiat industri hiburan tanah air.
Karyanya yang berkualiti membuatkan ramai pelapis baharu berlumba-lumba untuk membintangi naskhah arahannya demi mendapatkan portfolio yang kukuh dan menarik.
Empat kali membintangi filem arahan pengarah prolifik itu, pelakon, Nelissa Nizam enggan dirinya digelar sebagai anak emas sebaliknya, yakin Ahmad Idham melihat potensi mutu lakonan yang boleh dicungkil dari bakatnya.
“Saya bukanlah anak emas beliau. Ramai lagi pelakon-pelakon hebat yang berlakon dengannya. Alhamdulillah, mungkin keempat-empat filem yang pernah saya jayakan di bawah arahannya itu berjaya. Maknanya dia selesa dengan cara kerja saya.
“Sebenarnya, saya dapat berlakon dalam filem Impak Maksima Kedua pun berpunca daripada filem Reeza GTR bersama Sophia Albarakbah. Pada ketika itu, saya hanya melakukan aksi ‘drift’ biasa sahaja.
“Dari situ beliau nampak potensi saya untuk melakonkan babak aksi yang ekstrem. Setiap tawaran yang saya terima dari beliau, saya akan cungkil kebolehan lain yang saya boleh buat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nelissa turut menyifatkan Idham sebagai seorang pengarah yang versatile dalam berkarya selain mudah untuk bekerjasama bagi sesebuah naskhah.
“Bekerjasama dengan beliau sangat senang. Beliau sangat jelas dengan apa yang beliau mahukan. Saya juga sangat suka dengan jalan cerita setiap karyanya. Beliau seorang yang sangat mudah bekerja dan versatile,” jelasnya.
Kata Nelissa, tuahnya menjadi pelakon di bawah bimbingan pengarah itu turut membuka ruang untuk dirinya menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin dalam industri seni.
“Ahmad Idham seorang profesional. Sikap dedikasi dan profesional beliau di lokasi penggambaran buat saya kagum.
“Saya berasa bertuah menjadi antara pelakon yang dibimbing oleh beliau. Banyak sangat perkara yang saya belajar dengan beliau dari segi skrip, watak dan permainan kamera,” katanya.
Mahu Ceburi Filem Aksi
Ingin menjadi pelakon serba boleh, Nelissa optimis mahu mencabar dirinya menembusi pasaran filem aksi selepas berjaya melakonkan pelbagai watak sepanjang bergelar anak seni.
Menurut pelakon yang berusia 27 tahun itu, dia sedang giat membuat persiapan awal dengan menyertai kelas-kelas seni pertahankan diri sebelum menerima tawaran yang bersesuaian.
“Saya dalam perancangan untuk cuba ceburi filem yang bergenre aksi. Jadi, saya banyak pergi ke kelas Muay Thai dan Kick Boxing demi meningkatkan stamina saya.
“Saya harap juga saya ditawarkan untuk melakonkan filem aksi. Sebab itu jugalah saya perlu membuat persiapan awal dari sekarang,” katanya lagi.
Tambah Nelissa, dia berpendapat industri perfileman tanah air kini kekurangan pelakon wanita yang mampu menjayakan watak aksi dalam sesebuah naskhah.
“Saya rasa dalam industri ini ketandusan pelakon wanita yang boleh membuat aksi. Sekarang pun kita lihat ramai pelakon wanita yang sudah mulakan latihan. Saya harap ramai wanita yang belajar kemahiran tambahan demi meningkatkan lagi nama industri,” jelasnya.
Nelissa juga mengakui dirinya sedia untuk menggadaikan kecantikan wajahnya ketika membintangi sesebuah filem aksi supaya dapat menghidupkan lagi watak yang dijayakan.
“Saya sedar apabila berlakon aksi ini perlu berpewatakan yang comot dan bukan hanya menjaga kecantikan muka sahaja. Saya tidak kisah u