KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan hasil jualan produk tempatan sebanyak RM5 juta menerusi kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kempen jualan menerusi platform MyMall itu mampu dicapai dengan penglibatan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada pelbagai latar belakang dan jenama terkenal.
Katanya, secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan sektor ekonomi tempatan dan PMKS.
“Sebanyak 2,857 usahawan pelbagai produk ada dalam platform ini yang ada menawarkan pelbagai produk fesyen, makanan, peralatan rumah, kecantikan dan kesihatan.
“Justeru, kempen ini merupakan inisiatif kementerian dalam memberi sokongan terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan PMKS tempatan dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan segmen tersebut di negara ini,” katanya pada Majlis Peluncuran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 di sini, hari ini. – UTUSAN