TAPAH: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menolak sebarang cadangan untuk bertemu dengan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu selepas beliau membatalkan hasrat berdebat secara terbuka dengan pendakwah bebas itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, sebagai wakil rakyat, beliau mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk menjaga keharmonian rakyat di semua peringkat termasuk nama baik parti dan kerajaan.
“Kalau ada pihak sebelah sana kata kenapa (saya) lari dan sebagainya. Saya dah tak kisah.
“Saya ada pengundi. Apabila ada saranan daripada parti dan kerajaan supaya mengelak isu-isu seperti ini, maka saya perlu akur,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Semua Masjid Dan Surau Kawasan Parlimen Tapah Tahun 2025 oleh Ahli Parlimen Tapah di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini.
Terdahulu, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menggesa agar Menteri Perpaduan Negara menyelesaikan ketegangan antara Saravanan dan Muhammad Zamri termasuk mengaturkan pertemuan tertutup antara kedua-duanya.
Media melaporkan, Saravanan menarik diri daripada debat itu selepas mendapat nasihat daripada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Kementerian Perpaduan Negara dan polis.
Saravanan menetapkan tarikh debat bersama Muhammad Zamri pada 23 Mac ini susulan kenyataan kontroversi pendakwah berkenaan membandingkan perarakan kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk. – UTUSAN