ALOR SETAR: Pas yakin akan berlaku angin perubahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada April ini di sebalik persepsi negatif parti itu akan kecundang sekali lagi.
Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pas percaya dengan momentum sokongan pengundi di kawasan itu di sebalik kekalahan berulang di Ayer Kuning dalam pilihan raya sebelum ini.
“Kedah dulu pun Pas kalah. Lepas itu kita menang. Politik berubah jadi kita usahalah kerana ada tempat menang boleh kalah, ada tempat kalah boleh menang. Politik tak statik kerana bergantung keadaan semasa, melihat kepada keterbukaan rakyat mengundi dan prestasi jangkaan masa depan.
“Semua itu akan mempengaruhi tindakan politik termasuk pengundi dan saya yakin akan ada perubahan besar di Ayer Kuning,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Antara PKNK dan SRM Utama Selambau Sdn Bhd bagi pembangunan Loji Tenaga Solar di Bandar Amanjaya, Sungai Petani.
Bercakap tentang strategi berkempen Pas menjelang PRK itu, beliau berkata, faktor nasional termasuk permasalahan yang menimpa rakyat ketika ini akan memberi kelebihan kepada Pas untuk meraih sokongan pengundi di DUN itu kelak.
“Ini bukan sahaja strategi, tetapi tentang senario semasa bukan sahaja pihak kita tetapi pihak sana juga. Kempen apa yang kita nak gunakan? Rakyat sudah dapat melihat apa yang ada di masa depan.
“Janji tidak dicapati, takkan nak sokong lagi. Itu bukan strategi sangat sebab orang sudah tahu. Perkara ini mudah sahaja, Insya-Allah akan ada perubahan besar. Faktor nasional ini akan mempengaruhi dan akan jadi mesej untuk kerajaan,” katanya.
Menyentuh saranan Pesuruhjaya Pas Selangor agar penyokong parti di negeri itu menukar alamat untuk menjadi pengundi di Selangor, Muhammad Sanusi berkata, tindakan itu tidak akan menjejaskan kedudukan Pas di Kedah menjelang pilihan raya akan datang.
“Pengundi luar Kedah di Lembah Klang tidak seramai Kelantan, sekitar 3,000 sahaja. Kalau kurang 3,000 pun saya yakin menang, pengundi PN di Kedah tidak terjejas lagi.
“Tetapi taburannya kita kena tengok macam mana, kalau taburan sekata okay tapi kalau 3,000 itu dari satu Parlimen yang sama mungkin (terjejas) tetapi tidak mungkin itu berlaku,” katanya. – UTUSAN