Santan antara 26 barangan dikawal sempena Aidilfitri

Santan antara 26 barangan dikawal sempena Aidilfitri

ARMIZAN Mohd Ali pada sidang akhbar Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Santan antara 26 jenis barangan yang dimasukkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 berkuat kuasa 24 Mac hingga 7 April depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bagi memastikan barangan keperluan utama musim Aidilfitri itu tidak berlaku kenaikan mendadak selepas isu kekurangan bekalan kelapa sejak akhir bulan lalu.

Di bawah skim itu, harga santan ditetapkan pada harga RM17.50 di semenanjung, RM12 (Sabah), RM9 (Sarawak) dan RM15 di Labuan.

Menurut beliau, selain santan, tiga lagi baragan baharu dikawal tahun ini termasuk bawang merah kecil India, bawang merah kecil ros dan lobak merah.

“Pelaksanaan skim pada kali ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Armizan berkata, analisis yang dilakukan mendapati harga beberapa barang yang dikawal memberi impak positif dalam aspek kos sara hidup kepada pengguna ketika berbelanja untuk menyambut Hari Raya Puasa kelak.

Selain itu, katanya, penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain-pemain industri.

“Harga maksimum peringkat pemborong dan peruncit yang telah ditetapkan untuk skim kali ini boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.

“Pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh masa skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

Katanya, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini,” katanya.

Jelas beliau, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti di bawah kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau di kompaun sehingga RM50,000.

Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau di kompaun sehingga RM250,000. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya