Sampai sekarang tak makan laksa teringat arwah bapa - Luqman Faiz - Utusan Malaysia

Sampai sekarang tak makan laksa teringat arwah bapa – Luqman Faiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Luqman Faiz, mengakui tidak boleh menjamah laksa kerana terkenang memori bersama arwah bapa, Allahyarham Abdul Halim Faiz di penghujung hajatnya pada 2009.

Cerita Luqman, ketika itu dia masih remaja 16 tahun yang nakal dan enggan menemani bapa membeli makanan kesukaan iaitu laksa.

“Waktu itu tiada orang di rumah, ayah duduk dan cakap dia teringin makan laksa. Dia minta saya temankan beli laksa kerana badannya lemah. Takut terjadi apa-apa semasa memandu.

“Tapi saya buat tidak tahu dan ralit main permainan video. Ayah pergi seorang diri, bila pulang dia belikan laksa untuk saya. Kenangan itu terjadi dua minggu sebelum ayah pergi.

“Sampai sekarang saya tidak boleh maafkan diri saya dengan kelakuan itu. Dalam doa, saya kata, saya mahu minta maaf kepada ayah kerana berkelakuan seperti itu.

“Sampai sekarang saya tidak makan laksa, seluruh ahli keluarga tahu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Sudu House, baru-baru ini.

Menurut penyanyi Kepuraanmu itu lagi, apabila usia bertambah dewasa, dia lebih kerap terkenang arwah bapa.

Oleh itu, dia akan membaca mesej terakhir yang dikirimkan arwah berulang kali bagi mengubati kerinduan.

“Bila makin besar saya jadi rindu ayah saya, banyak kenangan yang saya ingat semula terutama nasihat yang diberikan.

“Waktu itu ayah tidak nampak tenat, tapi dia kirim mesej kepada saya berbunyi ‘Man, ini ayah. Ayah sudah tidak lama. Jangan asyik main permainan video dan dengar cakap ibu’.

“Tidak lama selepas itu, ayah meninggal dunia. Lima minit selepas ayah tiada, majikan ayah datang berziarah untuk maklumkan sepatutnya ayah naik pangkat,” ceritanya.

Memasuki usia 25 tahun, Luqman bertekad untuk menjaga ibunya dan fokus kepada perniagaan demi membantu keluarga.

“Waktu muda jadi artis, duit banyak. Saya meliar dan lupa diri. Kadang tidur rumah kawan sampai seminggu. Sekarang saya cuma fikir untuk cari rezeki buat keluarga. Itu sahaja.

“Ibu tak pernah halang saya bernyanyi cuma saya sendiri yang kurangkan dan fokus kepada perniagaan. Segala yang melalaikan, saya tinggalkan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya