SEREMBAN: Sekiranya ada yang menginginkan masakan Minangkabau iaitu sambal berlado sebagai juadah berbuka puasa, mereka boleh mendapatkannya di Bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.
Peniaga, Muhammad Luqman Nul Hakim Zahariman, 33, berkata, beberapa menu berasaskan sambal turut dijualnya termasuk yang paling laris ketika ini iaitu nasi ayam lado hijau.
“Pada setiap hari sepanjang Ramadan ini, kami menyediakan menu berasaskan sambal lado sekitar 100 hingga 120 bungkus dan menu paling laris adalah nasi ayam lado hijau yang dijual pada harga RM13.
“Memandangkan saya suka makan nasi Padang, jadi saya bawa dan olah sedikit resipi, kami masak sambal segar pada setiap hari. Ditambah pula tiada saingan di sini, jadi ia memberi kelebihan kepada kami mengetengahkan menu jualan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, setakat ini sambutan diterima sangat menggalakkan dan nilai jualan diraih adalah sekitar RM1,900 sehari.
“Alhamdulillah, kuasa membeli orang ramai masih lagi ada meskipun berdepan dengan peningkatan kos perbelanjaan. Harga yang kami jual pun berpatutan dengan isi kandungan,” katanya. – UTUSAN