PETALING JAYA: Seorang saksi menafikan mempunyai daya ingatan yang lemah ketika memberikan keterangan berhubung pakaian yang dipakai oleh ibu kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin pada hari kanak-kanak itu dilaporkan hilang, 5 Disember 2023.
Pihak pembelaan yang dikendalikan oleh Haresh Mahadevan menimbulkan isu percanggahan keterangan suri rumah yang juga saksi ke-16, Rashidah Rajali, 37, pada perbicaraan kes itu hari ini.
Pada prosiding terdahulu, Rashidah memaklumkan kepada mahkamah telah berselisih dengan Ismanira sebanyak dua kali di tangga Blok R, pada tengah hari kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, semasa berselisih untuk kali kedua selepas 20 minit, ibu kanak-kanak itu dilihat berpakaian berbeza.
Haresh: Puan ingat atau tidak ada beri temu ramah pada pihak media?
Rashidah: Ingat.
Haresh: Anda ingat atau tidak apa yang dimaklumkan pada pihak media?
Rashidah: Yang saya ingat dia tanya pasal kawasan rumah dan jiran.
Haresh: Sila beritahu mahkamah, jiran yang anda maksudkan itu siapa.
Rashidah: Jiran itu maksud saya rumah Zayn Rayyan.
Haresh: Anda tidak pernah beritahu pihak media berkenaan pakaian Isma semasa temu ramah, betul?
Rashidah: Ya, betul.
Haresh: Sekiranya isu berkaitan warna dan baju tudung yang anda beritahu pada mahkamah selepas dua tahun, kalau betul, sudah pasti anda akan beritahu pihak media, betul?
Rashidah: Tidak.
Haresh: Saya cadangkan kepada puan, memandangkan sebentar tadi mempunyai masalah berkaitan memori dua minggu lepas, saya cadangkan bahawa keterangan puan tentang pakaian Isma pada 5 Disember adalah amat diragukan, setuju atau tidak?
Rashidah: Tidak.
Haresh: Setuju jika saya cadangkan, anda ada memori yang sangat sangat lemah, betul?
Rashidah: Tidak.
Pada 13 Jun 2024, bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan kanak-kanak itu.
Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok.