KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi menjaga keamanan serta menyelamatkan rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah berdepan pelbagai cabaran sejak tahun lalu, termasuk bencana banjir besar di beberapa daerah seperti Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas dan Sandakan, selain kebakaran besar di Likas yang mengakibatkan 80 keluarga kehilangan tempat tinggal.
Tambah membimbangkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan hingga 21 Mac, meningkatkan risiko bencana baharu.
“Pasukan beruniform, keselamatan dan kesihatan memainkan peranan penting dalam menangani setiap situasi kecemasan.
“Ketika rakyat berlindung di rumah, mereka terus bertugas di lapangan tanpa mengira risiko, memastikan keselamatan dan kebajikan masyarakat terjaga dan usaha mereka sewajarnya diberi penghormatan dan pengiktirafan,” katanya pada Majlis Penyampaian Kuih Muih Aidilfitri kepada Barisan Hadapan di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri komited menyokong barisan hadapan dengan pelbagai inisiatif yang dapat meringankan beban mereka dan berharap sumbangan diberikan dapat menaikkan semangat dan motivasi petugas keselamatan serta kesihatan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah.
“Pengorbanan mereka tidak ternilai dan tidak boleh dibayar dengan wang ringgit. Justeru, saya menyeru rakyat Sabah untuk terus menghargai dan menyokong mereka yang berjuang demi keselamatan serta kesejahteraan negeri ini,” katanya. – UTUSAN