KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memberi subsidi selama setahun kepada 2,182 pesakit buah pinggang untuk menjalani rawatan dialisis secara percuma di hospital-hospital kerajaan dan rawatan kendiri di rumah (CAPD).
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Masyarakat Sabah, Datuk James Ratib berkata, sejumlah RM8.52 juta diperuntukkan bagi membiayai pemberian subsidi serta pembelian 100 mesin hemodialisis untuk ditempatkan di 23 hospital dan dua klinik kesihatan di seluruh Sabah.
Beliau berkata, penghantaran mesin-mesin dialisis ke hospital-hospital seluruh Sabah akan dilakukan dalam masa terdekat supaya dapat memudahkan pesakit menjalani rawatan dialisis susulan kerosakan beberapa mesin dialisis yang sedia ada.
Pada masa ini, daripada 474 mesin dialisis sedia ada, 39 mesin mengalami kerosakan dan diharap dengan tambahan 100 mesin baharu itu, ia akan memberi manfaat kepada pesakit buah pinggang.
“Cuba bayangkan setiap kali mendapatkan rawatan seorang pesakit perlu membayar RM13. Biarpun nilai itu kelihatan kecil namun, tapi bagi penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman, jumlah itu agak mahal.
“Sekiranya mereka menjalani rawatan tiga kali dalam tempoh seminggu, mereka perlu membayar tiga kali ganda.
“Begitu juga pesakit yang menerima perkhidmatan mesin dialisis di rumah (CAPD), mereka juga terpaksa membayar RM100 setiap kali menjalani rawatan dialisis,” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.
James berkata, pemberian subsidi kepada pesakit buah pinggang itu berkuat kuasa serta-merta di bawah Skim Bantuan Kesihatan SMJ ‘Sabah Sejahtera’.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Maria Suleiman berkata, pada ketika ini nisbah pesakit yang menggunakan mesin dialisis di hospital-hospital kerajaan adalah 1:3.32. Namun, nisbah keseluruhan pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis termasuk di pusat rawatan swasta di seluruh Sabah adalah 1:5.35.
Katanya, berdasarkan nisbah keseluruhan itu, mesin sedia ada di hospital kerajaan memang tidak dapat menampung keperluan perkhidmatan rawatan dialisis. Jumlah yang sepatutnya adalah kurang daripada 1:4.-UTUSAN