KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi bantuan kewangan berjumlah RM1,300 kepada 511 orang mangsa kebakaran di Kampung Cempaka Likas pada Sabtu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemberian bantuan kewangan yang itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran, terutama pada bulan Ramadan ini.
“Hari ini saya berkesempatan melawat mangsa kebakaran di Kampung Cempaka, Likas. Kita amat prihatin dan sebagai kerajaan peduli rakyat, kita telah memberi bantuan kewangan sebanyak RM1,300 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran iaitu sebanyak RM1,000 daripada kerajaan negeri manakala RM300 lagi dari Kumpulan Yayasan Sabah.
“Kita berusaha memikirkan nasib mangsa-mangsa kebakaran ini dan kita faham terutama pada bulan puasa ini, mengenai ketidakselesaan dan kesusahan mereka. Sebab itu, kerajaan bersama pihak yang berkaitan akan berusaha mencari jalan yang terbaik untuk membantu mereka.
“Selain bantuan kewangan, kerajaan turut memberi pelbagai bantuan lain seperti bantuan gas dan dapur dari Yayasan Kebajikan Sabah dan bakul makanan dari Kumpulan Yayasan Sabah,” katanya selepas melawat mangsa-mangsa kebakaran Kampung Cempaka di Dewan Serbaguna Likas, hari ini.
Kebakaran yang berlaku pada Sabtu menyebabkan 511 mangsa daripada 91 keluarga kehilangan tempat tinggal. Kesemua mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Likas dan PPS Damai.
Daripada jumlah itu, 200 mangsa daripada 34 keluarga di tempatkan di PPS Dewan Serbaguna Likas manakala, 311 mangsa daripada 57 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Damai.
Pelbagai lagi pihak turut membantu memberi bantuan makanan termasuk Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am. – UTUSAN