Saarani yakin Orang Asli tetap undi BN di Ayer Kuning - Utusan Malaysia

Saarani yakin Orang Asli tetap undi BN di Ayer Kuning

SAARANI Mohamad menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan ratu cantik pada Program Gerakan Koperasi Masyarakat Orang Asal Negeri Perak di Pejabat JAKOA Batang Padang dan Muallim di Tapah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pengundi masyarakat Orang Asli diyakini tetap memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengerusi BN dan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau tidak pernah sesekali meragui sokongan masyarakat Orang Asli.

“Kita tidak pernah meragui sokongan masyarakat Orang Asli bukan sahaja sokongan tetapi kesetiaan kerana mereka tahu kita sentiasa memberikan perhatian dan cuba sedia upaya untuk membangunkan mereka.

“Jadi sebab itu, kita harap, mereka terus memberikan sokongan kepada calon BN daripada Kerajaan Perpaduan ini supaya terus dapat berbuat kebajikan, ada kesinambungan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Batang Padang Dan Muallim Perak di Jalan Stesen, Kampung Lubok Katak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Menteri Besar Perak itu menyampaikan bakul makanan tajaan SKM kepada sebahagian daripada 217 penerima masyarakat Orang Asli sekitar Batang Padang yang merangkumi barangan keperluan asas seperti minyak masak, gula, garam, beras dan serbuk kopi.

Terdapat 2,156 pengundi masyarakat Orang Asli bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Saarani berkata, wakil rakyat UMNO sebelum ini di Ayer Kuning tidak pernah melupakan Orang Asli.

“Kita dulu di Ayer Kuning ini, bekas ADUN Ayer Datuk Samsudin Abu Hassan dan Allahyarham Ishsam Shahrudddin memang turun padang.

“Jadi trendnya, kita wakil rakyat BN ini tidak akan lupakan dan percaya wakil rakyat baharu daripada BN akan terus memberikan perhatian kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Berhubung calon BN pada PRK Ayer Kuning, Saarani berkata, keputusan muktamad itu ditentukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Mekah.

“Presiden sekarang berada di Mekah jadi kemungkinan dia sembahyang (solat sunat) istikharah untuk mendapat panduan, pedoman daripada Allah SWT.

“Dia (beliau) balik nanti akan umum pada 7 April insya-Allah di Pusat Arahan (Command Centre) di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT), Kampung Haji Tahir, Temoh.

“Kita akan lancarkan jentera (BN) dan pengumuman calon daripada Presiden sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya