KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang bertujuan mereformasi institusi serta penambahbaikan terhadap institusi demokrasi, diluluskan Dewan Rakyat hari ini.
RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lulus dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen, selepas ia dibahaskan oleh 18 wakil rakyat.
Ketika mengumumkan keputusan undian berkenaan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan seramai 148 ahli Parlimen bersetuju, 57 tidak mengundi dan 17 yang lain tidak hadir.
Sebelum itu, RUU berkenaan dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebelum ini dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada minggu lalu, diikuti pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).
Fasal itu menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat atau Timbalan Yang Dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan oleh sebab keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan, dengan syarat ahli yang dipilih berkenaan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.