PETALING JAYA: Prinsip utama Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) adalah semua projek pembaharuan kediaman mesti dijalankan menerusi perundingan dengan pemilik untuk mendapatkan persetujuan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, perkara itu ditegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menjawab segala persoalan yang timbul ekoran pengenalan undang-undang itu.
Katanya, selepas persetujuan, pemilik menerima semula hartanah berkenaan yang telah diperbaharui, pampasan, manfaat sara hidup serta beberapa manfaat lain semasa peringkat dan selepas pembinaan diselesaikan.
“Perdana Menteri menegaskan bahawa pelaksanaan RUU PSB ini akan memastikan rumah yang telah diperbaharui diberikan kepada pemilik asal supaya mereka dapat kembali menghuni di atas tapak asal yang telah dibangunkan.
“Nilai pampasan hartanah yang akan diperolehi oleh pemilik pula ialah berdasarkan kepada nilai pasaran masa hadapan, sekali gus membantu mereka untuk memiliki semula rumah yang telah diperbaharui,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Tunku Nashrul berkata, perkara itu berbeza berbanding situasi semasa di mana pampasan diputuskan oleh perunding atau mahkamah adalah berdasarkan nilai semasa menyebabkan pemilik tidak mampu memiliki rumah baharu yang harganya jauh lebih tinggi daripada pampasan.
Katanya, selain pampasan jauh lebih tinggi berbanding kaedah semasa, RUU PSB juga akan memastikan pelbagai bentuk pampasan atau manfaat diberikan kepada pemilik.
“Antaranya bayaran sewaan kediaman transit, bayaran ex-gratia renovasi hartanah sedia ada dan bayaran-bayaran lain bagi membantu sara hidup pemilik sepanjang tempoh pembinaan, sekali gus memastikan apa jua pembangunan semula menitikberatkan prinsip keadilan sosial yang menjadi asas kepada gagasan Madani,” katanya.
Kata Tunku Nashrul, segala jawapan itu menangkis persepsi mengatakan undang-undang PSB menyebabkan orang Melayu dan bumiputera hilang tempat di bandar atau undang-undang itu memberi keutamaan kepada pemaju.
“Sebaliknya PSB ini digubal untuk melindungi hak pemilik dengan memastikan pampasan yang adil dan jauh lebih tinggi berbanding sekarang, untuk melindungi hak dan mengangkat martabat rakyat terutama orang Melayu di bandar.
“Untuk memastikan miskin bandar terutama orang Melayu hidup dengan lebih bermaruah ketimbang dibiarkan hidup berhimpit selama puluhan tahun tanpa penyelesaian,” katanya.
Menurut Tunku Nashrul, RUU PSB adalah penyelesaian kepada pergelutan antara rakyat dan pemaju yang berlaku sejak sekian lama.-UTUSAN