KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) bakal dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan kawal selia kredit pengguna yang lebih berkesan.
Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, pelaksanaan RUUKP akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama dijadualkan berlangsung dari 2025 hingga 2027.
Beliau berkata, fasa pertama, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan mengawal selia pemberi kredit serta pemberi perkhidmatan kredit yang sebelum ini tidak dikawal oleh mana-mana pihak berkuasa.
“Terdapat perniagaan pemberi kredit yang tidak dikawal selia di bawah mana-mana undang-undang termasuk syarikat perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran dan pemajakan.
“Bagi perniagaan penyedia perkhidmatan kredit pula, ia merangkumi pemeroleh pinjaman atau pembiayaan terjejas (ILB), agensi pengutip hutang (DCA) serta agensi kaunseling dan pengurusan hutang (DCMA),” katanya ketika taklimat RUUKP 2025 di Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.
RUUKP pertama kali dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu.
Ia dirangka sebagai langkah kerajaan untuk mengawal selia aktiviti agensi pemberi kredit bukan bank termasuk perkhidmatan BNPL yang semakin berkembang di Malaysia.
Tambah Abu Hassan, bagi fasa pertama, pelaksanaan peraturan bagi pembiayaan kewangan dan pajak gadai patuh Syariah (Ar-Rahnu) akan dikendalikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai langkah untuk menetapkan garis panduan kepada industri berkenaan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) juga akan menambah baik Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212) bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan kepada pengguna serta menangani cabaran penerimaan digitalisasi dalam urusan sewa beli,” katanya.
Beliau berkata, bagi fasa kedua pula, RUUKP akan menyaksikan pemindahan fungsi kawal selia aktiviti kredit pengguna di bawah KPDN dan KPKT kepada SKP.
“Bagi fasa ketiga, akan berlaku pemusatan pengawalseliaan pelakuan (conduct regulation) dalam aktiviti kewangan di Malaysia, namun perkara itu masih dalam peringkat kajian sebelum dilaksanakan sepenuhnya,” jelasnya.
Abu Hassan berkata, bagi mendapatkan jumlah pendapatan pengguna secara tepat adalah cabaran yang sukar.
Katanya, penilaian terhadap kemampuan pengguna untuk berhutang akan dilaksanakan bagi memastikan kelayakan kredit mereka dinilai dengan lebih menyeluruh.
“Penilaian ini akan mengambil kira keupayaan pengguna untuk membayar balik hutang selepas menimbang semua komitmen kewangan mereka.
“Ia akan merangkumi faktor seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), corak perbelanjaan serta sejarah pembayaran hutang peminjam,” katanya. – UTUSAN