PETALING JAYA: Rang Undang-undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam 2025 disamping mempertingkat kecekapan kerajaan, tetapi berupaya mengurangkan birokrasi dan meningkatkan ketelusan.
Anggota Sekutu Malaysia Pusat Pilihan Pengguna (CCC), Tarmizi Anuwar berkata, pembentangan RUU ini berpotensi untuk mengukuhkan tadbir urus, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Katanya, antara perkara utama yang diketengahkan dalam RUU ini ialah Fasal 6 yang menetapkan entiti kerajaan untuk mengurangkan beban kawal selia sekurang-kurangnya 25 peratus setiap tiga tahun.
“Langkah ini dijangka memberi impak positif kepada perniagaan dan pengguna dengan mengurangkan halangan pentadbiran yang selama ini menyekat inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
“Inisiatif ini sejajar dengan amalan terbaik global dalam tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Dengan mengurangkan birokrasi serta melaksanakan sistem penarafan prestasi perkhidmatan, kerajaan boleh meningkatkan ketelusan, menggalakkan akauntabiliti dan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam,” katanya menerusi satu kenyataan.
RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 antara sembilan RUU dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, RUU itu, merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI dengan menambah baik proses pentadbiran kerajaan secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Tarmizi, pengenalan sistem penarafan prestasi perkhidmatan di bawah Fasal 7 RUU juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan.
“Melalui sistem ini, prestasi agensi kerajaan akan dinilai secara berkala bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan responsif kepada rakyat dan sektor perniagaan.
“Pelaksanaan penilaian prestasi berkala dan laporan awam akan memastikan agensi kerajaan lebih bertanggungjawab,” kata Tarmizi. – UTUSAN