Rumaizi puas hati 5 tahun sebagai Datuk Bandar Ipoh - Utusan Malaysia

Rumaizi puas hati 5 tahun sebagai Datuk Bandar Ipoh

RUMAIZI Baharin (tengah) berjabat tangan dan bergambar dengan Ahli Majlis MBI di Ipoh, Perak hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Rumaizi Baharin berpuas hati dengan khidmatnya sebagai Datuk Bandar Ipoh selama lima tahun yang akan berakhir pada hujung bulan ini.

Jelasnya, paling memuaskan hati beliau ialah komitmennya untuk mengatasi masalah kemiskinan yang membelenggu penduduk bandar Ipoh lebih-lebih lagi kesan pandemik Covid-19.

“Waktu saya mula menjadi Datuk Bandar, Ipoh daripada kalangan bandaraya yang paling ramai orang miskin. Saya kata kita tidak boleh membiarkan keadaan itu.

“Kemiskinan melibatkan kita dengan jenayah, mendekatkan kita dengan perkara yang kurang bermoral. Kita cuba mengatasi masalah kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini hari ini.

Rumaizi, 50, anak kelahiran Ipoh dilantik sebagai Datuk Bandar pada 1 April 2020 yang sebelum itu merupakan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Kontraknya sebagai Datuk Bandar akan tamat kerana telah melebihi tempoh selama lima tahun yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Antara kebanggaan beliau sebagai Datuk Bandar ialah apabila MBI menerima anugerah daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas usaha mengubah bandar terhadap soal kesihatan, pengurusan sisa dan ekopelancongan.

Ditanya mengenai kekesalan beliau sepanjang lima tahun menjadi Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi hanya berkata tiada selain menyatakan sedang menanti status kedudukannya selepas ini.

“Saya rasa saya puasa hati. Kita kerja sebagai satu pasukan walaupun dalam pelbagai keadaan. Selain daripada Covid-19, isu politik di peringkat negeri dan negara kita pun macam-macam pada waktu itu. Dengan Menteri Besar bertukar.

“Tetapi saya rasa kita boleh bergerak ke depan. Kita tidak terpesona dengan masalah itu,” katanya.

Mengenai masa depan Ipoh, beliau melihat sambutan ulang tahun ke-500 Kesultanan Perak pada tahun 2028 merupakan sesuatu yang besar menanti buat keseluruhan Perak dari segi sektor pelancongan berasaskan budaya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya