KUALA LUMPUR: Kegiatan pembedahan kosmetik haram yang dikendalikan doktor warga asing di dua unit kondominium sekitar ibu negara berjaya dibongkar dalam serbuan di Desa Petaling dan Bukit Jalil di sini, semalam.
Serbuan menerusi Op Dandan itu dilakukan Jabatan Imigresen dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur bermula pukul 11 pagi hasil maklumat risikan.
Difahamkan, sindiket itu aktif mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi platform TikTok, menawarkan prosedur kecantikan seperti pembedahan memancungkan hidung dan membentuk alis mata dengan harga antara RM1,000 hingga RM15,000 bergantung kepada jenis rawatan.
Tinjauan di dalam premis itu mendapati, terdapat ubat-ubatan yang digunakan dipercayai dibawa masuk dari luar negara tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seorang ejen warga tempatan yang ditahan mengaku menerima komisen antara lima hingga 10 peratus bagi setiap pelanggan yang mendapatkan rawatan.
“Hasil pemeriksaan dalam premis berkenaan mendapati terdapat sebuah bilik khas yang dilengkapi katil rawatan serta pelbagai peralatan pembedahan plastik.
“Malah, lebih mengejutkan, pisau dan gunting pembedahan disimpan di dalam ketuhar yang diletakkan di bawah katil,” katanya.
Jelas Wan Mohammed Saupee, operasi serentak di dua kondominium itu berjaya menahan sembilan warga Vietnam termasuk dua wanita serta dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ejen.
“Dalam serbuan di Bukit Jalil, enam individu ditahan membabitkan lima warga Vietnam dan seorang warga tempatan. Manakala di Desa Petaling, empat individu ditahan iaitu empat warga Vietnam serta seorang rakyat tempatan,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua unit kondominium berkenaan mempunyai kaitan namun didaftarkan atas nama syarikat berbeza bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Jelasnya, kediaman berkenaan dipercayai disewa pada harga RM2,600 sebulan dan telah beroperasi secara aktif sejak setahun lalu.
“Hasil semakan mendapati doktor warga Vietnam itu tidak mempunyai sebarang sijil kelayakan atau kelulusan untuk melakukan prosedur pembedahan kosmetik,” ujarnya. – UTUSAN