Rugi RM630,000, Noraniza Idris tuntut penjelasan ‘scammer’ - Utusan Malaysia

Rugi RM630,000, Noraniza Idris tuntut penjelasan ‘scammer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Penyanyi, Noraniza Idris, 57, tampil membuat laporan polis selepas mendakwa perniagaan muruku miliknya dianiaya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000.

Menurut Noraniza, dia menyedari dirinya ditipu setelah akademi itu tidak membuat sebarang pembayaran selepas mengambil produk selama lebih sebulan yang dianggarkan sekitar 20,000 pek.

“Saya terima pelawaan mereka kerana ingin membantu. Lagipun saya memang selama ini sentiasa menyokong aktiviti amal kebajikan. Bagaimanapun, niat baik telah dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 sahaja. Cara bayaran pun dibuat berperingkat.

“Sejak menyedari diri telah ditipu sejak Jun tahun lalu, saya sering menuntut bayaran daripada pihak mereka namun sampai ke hari ini pelbagai alasan telah diberikan sehingga nilai kerugian yang saya tanggung mencecah RM630,000.

“Kerugian tersebut merangkumi mesin khas pembuatan muruku, percetakan,pembungkusan tertera lagi syarikat tersebut serta kos pembayaran pekerja,”katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Turut hadir bersama Noraniza ialah anak keduanya, Fee Haiqal, 32.

Noraniza berkata, susulan penganiayaan itu, dia terpaksa merehatkan lebih 10 pekerja kerana tidak mampu untuj membayar gaji mereka.

“Bagi memenuhi permintaan syarikat terbabit saya perlu menambah kakitangan. Namun apabila jadi perkara begini, daripada 20 pekerja, kini hanya tinggal empat orang sahaja.

“Saya tak boleh tutup perniagaan ini sebab ini bisnes keluarga. Jadi mahu atau tidak saya terpaksa teruskan kerana kami masih lagi mendapat permintaan atas talian,”katanya.

Selain itu, Noraniza kesal kerana kejadian turut mengganggu emosi anak-anaknya dan keluarga apalagi mengenangkan usaha membangunkan syarikat ini telah dilakukan sejak setahun lalu.

“Apabila keadaan ini berlaku, saya kasihan tengok keadaan anak-anak kerana mereka sanggup tak tidur dan berjaga malam untuk pastikan kilang ini beroperasi.

“Saya nekad buat laporan polis ini sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula serta membantu orang lain supaya jangan terpedaya dengan orang begini.

“Saya harap mereka yang terlibat ini melihat artikel ini supaya tampil ke depan memberi kenyataan kenapa melakukan penganiayaan begini agar syarikat lain pun boleh lebih berhati-hati,”ujarnya.

Sebelum ini, Noraniza mendakwa dirinya dianaiya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000 awal tahun ini.

Difahamkan, akademi terbabit menawarkan peluang di platform mereka untuk penjualan produk makanan iaitu muruku yang diusahakan oleh Noraniza. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN