TELUK INTAN: Seorang pengarah syarikat kerugian RM203,200 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menawarkan kontrak membekalkan barangan elektrik yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal berkata, lelaki warga tempatan berusia 38 tahun itu telah dihubungi suspek yang menyamar sebagai wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan cawangan Perak pada 21 Februari lalu.
Katanya, melalui pesanan Whatsapp itu, suspek menawarkan kepada syarikat mangsa, kontrak membekalkan peralatan elektrik (power station) bernilai RM203,200.
“Suspek turut mengemukakan surat pesanan kerajaan palsu atas nama Kementerian Belia dan Sukan kepada mangsa menyebabkan lelaki itu percaya yang syarikatnya mendapat kontrak berkenaan.
“Mangsa kemudiannya telah diminta untuk berhubung dengan satu syarikat lain bagi proses penyediaan kontrak membabitkan empat buah power station melalui whatsapp,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang menerima kontrak berkenaan membuat tiga transaksi berjumlah RM203,200 ke dalam tiga akaun bank berbeza seperti yang diminta suspek.
Katanya, selepas membuat transaksi, mangsa yang berasa curiga telah menghubungi pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk menyemak kelulusan kontrak namun dimaklumkan bahawa tidak wujud kontrak sedemikian.
“Mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis pada 11 Mac lalu. Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN