JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM6.6 juta bagi melaksanakan program Jualan Kasih Johor sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri di 57 lokasi yang tawar harga istimewa kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, program itu sebagai salah satu usaha dan komitmen kerajaan negeri untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutamanya menjelang musim perayaan.
Kerajaan negeri dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menganjurkan program jualan itu sempena sambutan Aidilfitri pada 22 hingga 29 Mac ini.
“Program Jualan Kasih Johor menawarkan potongan harga yang sangat istimewa, iaitu antara 50 hingga 70 peratus bagi barangan makanan yang menjadi keperluan asas rakyat, antaranya ayam, ikan dan hasil laut, telur serta minyak masak peket dua liter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zahari berkata, FAMA turut menawarkan potongan harga bagi barangan lain seperti daging lembu, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit dan produk industri asas tani.
Penganjuran Jualan Kasih Johor kali ini menyasarkan lebih 200,000 pengunjung dan melibatkan lebih 300 usahawan tani. – UTUSAN