LUMUT: Keseluruhan hampir RM312,000 disumbangkan kepada keluarga dan waris mangsa tragedi dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas yang berlaku di sini pada 23 April tahun lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan tabung khas dan diberikan mengikut kelayakan.
“Sempena dengan majlis berbuka puasa bersama warga TLDM di sini semalam, saya berkesempatan untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga dan waris mangsa tragedi. Kesemuanya berjumlah RM312,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) bagi melihat kerja-kerja pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.
Dalam insiden pada 23 April 2024 itu, 10 terkorban semasa nahas pertembungan dua helikopter di udara yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Lumut.
Mohamed Khaled berkata, peruntukan turut disampaikan kepada TLDM sebanyak RM70.44 juta untuk tujuan penyelenggaraan rumah-rumah TLDM sebagai penekanan aspek kebajikan kepada para anggota.
Beliau juga mengumumkan bantuan sumbangan Skim Pendidikan Madani kepada anak-anak tentera laut yang baharu mendaftar Darjah Satu menerusi pembukaan akaun simpanan membabitkan jumlah RM17,950.
Menurut Kementerian itu juga, turut disempurnakan semasa majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh Mohamed Khaled adalah sumbangan kebajikan sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada 20 warga TLDM termasuk waris yang mempunyai sakit kronik.
Sementara itu Mohamed Khaled juga berkata, kebanyakan daripada lebih 100 pelatih yang tamat menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025 selama 45 hari sejak 12 Januari lalu berpuas hati dengan modul dilalui mereka dan pihak kementerian akan melihat peluang penambahbaikkan. – UTUSAN