KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan RM11.33 bilion kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Dasar Sedia Ada, Program Khusus dan Pembangunan dalam Belanjawan 2025.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelbagai manfaat sudah diterima ke arah penambahbaikan mutu penyampaian perkhidmatan pasukan dan kebajikan warga PDRM.
“Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan PDRM memperoleh sejumlah RM11.33 bilion.
“Sebanyak 18 projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai polis, perumahan, serta fasiliti lain telah diluluskan dengan implikasi kewangan berjumlah lebih RM2.3 bilion di bawah Rolling Plan Kelima (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun 2025,” katanya.
Beliau ketika berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah projek yang diluluskan itu adalah yang paling banyak berbanding tahun sebelumnya
“Selain itu, sebanyak RM30 juta turut diterima di bawah anggaran perbelanjaan mengurus (EO) bagi kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti,” katanya.
Razarudin berkata, warga PDRM menyambut baik usaha kerajaan dalam memperkasakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilihat berupaya mengukuhkan perkhidmatan penjawat awam merangkumi beberapa aspek.
Katanya, ia dengan mengoptimumkan sumber dan produktiviti, pengurusan pembangunan modal insan selain pengukuhan kepimpinan serta tatakelola dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan.
“Segala manfaat yang telah dinikmati dan dituai ini, PDRM tidak berpaling arah untuk terus mendukung segala dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.
“Sesungguhnya, warga pasukan yakin, setiap pembaharuan yang telah diperkenalkan adalah demi kemaslahatan bersama ke arah mendukung aspirasi MADANI untuk merealisasikan visi membangun tanah air yang lebih mampan dan makmur,” katanya. – UTUSAN
HABIS