JOHOR BAHRU: Peruntukan khas sebanyak RM1 juta daripada kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan disalurkan bagi mengatasi masalah tanah mendap di Pangsapuri Jalan Padi Malinja, Fasa 13, Bandar Baru Uda, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Syukor berkata, masalah tanah mendap yang berlaku itu susulan hujan lebat yang turut menyebabkan enam buah daerah di Johor dilanda banjir.
“Saya amat memahami kegusaran penduduk yang terkesan akibat situasi ini. Oleh itu, sebagai langkah awal, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan di bawah peruntukan khas bagi kerja-kerja kritikal dan kecemasan.
“Anggaran awal peruntukan adalah sekitar RM1 juta atau lebih, bergantung kepada keperluan sebenar selepas penilaian terperinci dilakukan,” katanya selepas melawat kawasan kediaman tersebut malam tadi.
Menurut Mohd. Jafni, keutamaan akan diberikan kepada kerja-kerja pemulihan segera bagi memastikan keadaan kembali stabil dan selamat.
Katanya, antara langkah awal yang akan dilaksanakan di kawasan terjejas termasuk binaan semula tembok parit utama dan jalan di kawasan parkir dan penanaman cerucuk keping kekal bagi mengukuhkan struktur tebing menggantikan tembok yang gagal.
“Sementara itu, di Jalan Padi Emas 5/1 pula, kerja-kerja pengukuhan tebing dengan penanaman cerucuk bakau akan dilakukan bagi mengelakkan hakisan berulang dan pembinaan semula tembok penahan parit utama sebelum kerja pembaikan lanjut dijalankan.
“Kerja-kerja awalan dijadualkan bermula hari ini juga termasuk langkah mitigasi bagi mengelakkan risiko lebih besar kepada penduduk,” ujarnya.-UTUSAN