SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa cuba membunuh penuntut perempuan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga bekas kekasihnya, minggu lalu.
Tertuduh, B. Vashigharan, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Dia didakwa cuba membunuh dengan menggunakan sebilah pisau ke atas P. Kirtanah, 19, sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di Bangunan Universiti AIMST, Semeling kira-kira pukul 10 pagi, 17 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera parah, tertuduh boleh dipenjarakan selama 20 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam Ashokumar. Turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa ialah Ranjit Singh Sandhu.
Tiada jaminan ditawarkan pihak pendakwaan berikutan kes melibatkan kejadian serius dan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa, perlu melaporkan diri ke balai polis selain pasport ditahan jika mahkamah membenarkan jaminan.
Bagaimanapun Ashokumar memohon jaminan dibenarkan kerana tertuduh merupakan seorang pelajar yang akan berada dalam tahanan yang lama serta bersedia mengikut syarat tambahan yang dikenakan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Akhbar ini melaporkan seorang penuntut sebuah IPT cedera parah selepas ditikam dalam kejadian di kampus. Mangsa diserang remaja lelaki terbabit yang merupakan bekas kekasihnya semasa berjalan ke perpustakaan bersama beberapa rakannya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala suspek ditahan semasa mendapatkan rawatan kecederaan di tangannya di klinik kesihatan di kampus itu.
Suspek dikatakan bertindak demikian kerana berang selepas teman wanitanya memutuskan hubungan mereka. – UTUSAN