LARUT: Keputusan merehatkan mana-mana pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) adalah sebahagian daripada taktik untuk memastikan keberkesanan parti.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam politik keputusan seperti itu adalah perkara biasa.
“Keputusan untuk ‘rehat’ bukan bermakna individu itu tidak kompeten tetapi lebih kepada memastikan keberkesanan politik.
“Seperti dalam permainan bola sepak, walau sebagus mana pun seseorang pemain itu, dia perlu direhatkan. Keputusan ini juga tidak menjejaskan kempen PN di PRK Ayer Kuning,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Larut di Selama di sini hari ini.
Pas sebelum ini dilaporkan merehatkan tugas Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak namun sehingga kini tiada pengumuman rasmi daripada parti komponen PN itu.
Mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Hamzah berkata, pemilihan calon akan dilakukan dengan penuh teliti dengan memberi keutamaan yang benar-benar mewakili kepentingan rakyat.
“Walaupun banyak nama yang berpotensi namun proses pemilihan calon akan dilakukan melalui kajian yang mendalam bagi memastikan individu yang terpilih dapat memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat secara keseluruhan.
“Pengumuman calon yang akan bertanding hanya akan dibuat menjelang hari penamaan calon. Pendekatan ini dilakukan untuk memastikan segala persiapan dilakukan dengan teliti dan berdasarkan keputusan yang telah dipersetujui,” katanya. – UTUSAN