Redah selut, sorok celah kotak elak dicekup

Redah selut, sorok celah kotak elak dicekup

Warga asing
ANTARA pekerja warga asing yang ditahan di kilang kitar semula sisa elektronik haram di Jalan Klang-Kuala Selangor, di Kuala Selangor, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Bersembunyi di celahan kotak, memanjat pagar dan meredah tanah selut, demikian cubaan pekerja warga asing bagi mengelak dicekup pihak berkuasa yang menggempur sebuah kilang kitar semula sisa elektronik haram (e-waste) dekat Jalan Klang-Kuala Selangor di sini, semalam.

Bagaimanapun, usaha mereka untuk meloloskan diri itu gagal apabila kawasan premis tersebut dikepung pasukan penguatkuasa bermula kira-kira pukul 9 pagi yang disertai oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama polis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Operasi bersepadu lebih enam jam itu membawa kepada penahanan seramai 78 warga asing termasuk 20 wanita yang bekerja di kilang tersebut.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, serbuan dijalankan hasil aduan dan maklumat mengenai aktiviti pengoperasian kilang tanpa lesen berkenaan.

Menurutnya, semakan mendapati premis yang beroperasi lebih setahun itu pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan dua kali sebelum ini.

“Justeru, kita mengeluarkan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, gagal menyelenggara premis dalam keadaan bersih dan notis memberhentikan operasi serta merta.

“Selain itu, dua inventori sitaan peralatan perniagaan dilakukan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelas Mohamad Lutfi, polis menerusi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan 58 lelaki warga Myanmar, Indonesia, Kemboja dan China bagi tindakan lanjut.

“Ketika serbuan, seramai 20 wanita Kemboja dan Myanmar turut ditahan di kilang tersebut.

“Tindakan diambil bagi membanteras isu warga asing tanpa dokumen sah dan melindungi hak pekerja yang dieksploitasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” ujarnya.

Tambah beliau, JAS turut mengambil tiga jenis sampel buangan terjadual terdiri daripada sisa bateri, elektrik, dan elektronik.

“Sampel itu akan dianalisis bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar. Sementara Air Selangor pula melakukan pemotongan meter air terhadap premis yang melanggar peraturan, manakala TNB menyemak sumber tenaga elektrik yang digunakan di lokasi berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya