TAPAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang dilaporkan direhatkan daripada tugas sebagai Pesuruhjaya Pas Perak tetap akan membantu kempen Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Razman terlibat dalam jawatankuasa jentera pilihan raya PRK Ayer Kuning dengan menjaga salah satu Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Dia terlibat dengan jawatankuasa jentera pilihan raya PRK DUN Ayer Kuning. Hari ini (semalam) dia pergi ke Mekah.
“Dia masih gerak macam biasa. Dia jaga satu PDM termasuk 26 (ADUN PN di Perak) dan Ahli Parlimen (PN).
“Terlibat dalam perjuangan, tidak pernah berehat,” katanya pada pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional PRK N.48 Ayer Kuning di Padang Awam Tapah Road di sini malam tadi.
Sebelum ini media melaporkan Razman direhatkan daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak.
Sebelum ini Razman terpalit dengan beberapa isu antaranya beliau mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).
Razman bagaimana pun mengemukakan permohonan maaf kepada Hannah selepas mengakui wujud kesalahan fakta dalam ucapannya yang mendakwa pemimpin DAP tersebut sebagai ‘anak YTL’.
Sebelum itu, Razman turut menyampaikan permohonan maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung fitnah mengaitkan Pengerusi DAP Perak itu dengan insiden mengibar bendera negara China di Teluk Intan. – UTUSAN