PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung keputusan yang menolak permohonannya agar Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes rasuah berkaitan projek solar yang dihadapinya menarik diri, ditangguhkan selepas bekas Wanita Pertama Negara itu tidak sihat.
Mahkamah Rayuan hari ini sepatutnya mendengar rayuan Rosmah berhubung permohonan yang difailkan beberapa jam sebelum Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menyampaikan keputusannya di akhir pembelaan kes rasuah tersebut.
Pendengaran rayuan hari ini juga tidak membabitkan rayuan Rosmah terhadap hukuman penjara hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, sembilan tahun lalu yang dibuat oleh hakim yang sama.
Terdahulu, peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memaklumkan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin bahawa anak guamnya perlu ke hospital.
“Anak guam saya hadir tetapi saya baru dimaklumkan bahawa Datin Seri Rosmah mengalami pening kepala dan perlu mendapatkan rawatan. Beliau menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi. Beliau telah dibawa ke hospital,”ujar peguam itu.
Hakim Ahmad Zaidi memutuskan untuk menangguhkan prosiding hari ini ke 15 Mei ini kerana bagi pendengaran membabitkan kes jenayah, Rosmah perlu hadir ke mahkamah.
Rosmah memfailkan permohonan itu pada 1 September 2022 atas alasan beliau meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial.
Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.
Hakim Mohamed Zaini sebelum menolak permohonan tersebut menyatakan, segala penghakiman dibuat sendiri olehnya selepas membuat kajian sendiri.
Ujar hakim itu, beliau telah menulis lebih 200 penghakiman dan penghakiman bocor itu bukanlah alasan penghakiman yang ditulisnya sendiri. – UTUSAN