GEORGE TOWN: Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand akan diperluas dengan penambahan tiga laluan baharu serta dua van tambahan bagi laluan sedia ada mulai 15 Mac ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Ku Jamil Zakaria berkata, perkhidmatan yang sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit (DRT), diperkenal bagi memenuhi permintaan pengangkutan awam di kawasan berpenduduk padat serta lokasi yang masih belum mempunyai akses kepada perkhidmatan bas.
“Tiga laluan baharu yang diperkenalkan adalah T110B (Gurney dan Tanjung Bungah) dengan enam van, T710B (Sunway dan Butterworth) juga dengan enam van serta T211B (Paya Terubong) satu van.
“Laluan ini akan berfungsi sebagai penghubung perjalanan batuan pertama dan terakhir (first and last mile) penumpang kepada rangkaian pengangkutan awam sedia ada, sekaligus meningkatkan kesalinghubungan di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.
Ku Jamil berkata, penambahan ini dibuat susulan permintaan yang menggalakkan dan pihaknya merancang menambah 50 van secara berperingkat sepanjang tahun ini.
“Langkah ini bertujuan menggalakkan lebih ramai orang awam beralih kepada pengangkutan awam yang lebih fleksibel dan efisien,” ujar beliau.
Selain itu, katanya, laluan sedia ada iaitu T210B (Farlim dan Air Itam) yang diperkenalkan Ogos tahun lalu akan turut ditambah baik dengan tambahan dua van kepada empat van.
“Penambahbaikan dijangka mengurangkan waktu menunggu penumpang dari 17 minit kepada hanya 10 minit susulan permintaan tinggi terhadap laluan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini, purata jumlah penumpang harian laluan T210B ialah 137 orang, melebihi sasaran awal 100 penumpang sehari dan sejak beroperasi tujuh bulan lalu, laluan itu telah merekodkan lebih 26,000 penumpang.
“Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari dari 6 pagi hingga 11 malam dan boleh ditempah melalui aplikasi Kummute. Tambang promosi RM1 bagi setiap perjalanan masih dikekalkan.
“Selain itu, pembayaran tanpa tunai akan diperkenalkan mulai 13 Mac bagi laluan sedia ada dan 15 Mac bagi laluan baharu. Mod pembayaran yang diterima termasuk Pas Mutiara My50, Pas OKU Smile, kad debit/kredit, DuitNow QR dan e-dompet,” katanya. – UTUSAN