KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas sejumlah mercun, beras, besi dan logam sekerap bernilai keseluruhan RM18.36 juta dalam beberapa operasi yang dijalankan jabatan tersebut dari 20 Januari sehingga hari ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, bagi rampasan mercun, sebanyak 57,813 kilogram (kg) yang nilai sitaan dan duti dan cukai berjumlah RM2.45 juta berjaya dirampas dalam Op Barrier dan Op Petasan yang dijalankan sempena perayaan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri.
“Kesemua mercun ini dirampas ketika pemeriksaan dijalankan ke atas 32 buah kontena di gudang pengimport mercun berdaftar di Selangor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Johor oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor).
“Pengimport mercun ini ada membuat pengikraran terhadap kesemua mercun ini, namun pihak kami merampasnya kerana mercun yang diimport tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis,” katanya pada akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Bagi rampasan beras, beliau berkata, sebanyak 544,825 kg beras import bernilai RM2.81 juta berjaya dirampas dalam dua pemeriksaan di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan Barat pada 17 dan 20 Februari lalu.
Menurut Ahmad Taufik, kesemua beras yang dipercayai diimport tanpa mempunyai permit import itu ditemukan di dalam 21 buah kontena.
“Pihak pengimport mengikrarkan kesemua beras ini sebagai serbuk kunyit, kari ayam, serbuk masala dan natrium klorida bagi mengaburi pihak JKDM. Siasatan awal menunjukkan dagangan telah diimport dari sebuah negara dari benua Asia dan pihak yang mahu mengimport beras perlu mendapatkan permit import daripada pihak Padiberas Nasional Berhad,” katanya.
Bagi kes rampasan besi dan logam sekerap, sejumlah 1.66 juta kg bahan tersebut yang bernilai RM13.07 juta dirampas dalam Op Tinman pada 1 hingga 28 Februari lalu.
Ujar Ahmad Taufik, kesemua bahan berkenaan dirampas ketika pemeriksaan dibuat ke atas 69 buah kontena oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) di Zon Bebas Pelabuhan Barat.
Kesemua kes masih lagi dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 133 (1) (a) dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu pengikraran tidak benar.