PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan, mengumumkan bertanding bagi jawatan naib presiden dalam Pemilihan PKR 2025 Mei ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, keputusan itu dibuat bagi memperkukuh dan memperkasakan lagi parti itu dari peringkat akar umbi sehinggalah pimpinan pusat.
“Sebelum mencapai keputusan untuk menggalas amanah sebegini penting, saya telah meluangkan masa berbincang dengan dalam kalangan pimpinan, sahabat seperjuangan, serta anggota PKR di seluruh negara.
“Semangat perjuangan harus seiring dengan gagasan Malaysia Madani dan saya percaya bersama-sama kita mampu lakukan yang terbaik demi masa depan negara. Membujur lalu melintang patah. Reformasi!,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut berkata, perkara berkenaan keputusannya itu sudah dimaklumkannya terlebih dahulu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.
“Saya ingin mengumumkan hasrat untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini. Saya juga sudah memaklumkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu,” katanya.
Persaingan untuk merebut empat kerusi Naib Presiden PKR semakin hangat, dengan enam pemimpin kini sah menyertai pertarungan dalam pemilihan kali ini.
Lima penyandang naib presiden telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Nurul Izzah Anwar.
Selain itu Ketua Penerangan PKR yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pada Ahad lalu mengumumkan hasrat untuk menyertai pertandingan berkenaan. – UTUSAN