GUA MUSANG: Laluan menghala ke bandar Gua Musang, semalam lancar tanpa kesesakan luar biasa menjelang sambutan Ramadan.
Ia melibatkan aliran trafik melalui Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis serta kawasan lampu isyarat di bandar Gua Musang.
Seorang pengguna jalan raya, Ismailel Ahmad, 37, berkata, permulaan Ramadan yang jatuh pada hari Ahad menyebabkan ramai anak Kelantan di perantauan tidak pulang berpuasa di kampung halaman sebagaimana kelaziman..
Katanya, pembukaan sesi persekolahan baharu yang terlalu hampir dengan permulaan Ramadan juga turut mempengaruhi keputusan perantau untuk pulang.
“Kebiasaannya menjelang Ramadan berlaku pertambahan kenderaan kerana rata-rata perantau pulang untuk berpuasa bersama keluarga.
“Kemungkinan perantau tidak mengambil cuti untuk pulang menyambut puasa kerana baharu sahaja tamat cuti sekolah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Seorang lagi pengguna jalan, Mohd. Asri Kadir, 45, berkata, kemungkinan hujung minggu ini, aliran trafik meningkat kerana anak perantau pulang berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga.
“Saya menjangkakan jumlah kenderaan meningkat menjelang hujung minggu ini kerana ramai mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk menyambut Ramadan di kampung halaman.
“Kita berharap anak Kelantan yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Ramadan sentiasa merancang perjalanan agar selamat serta sampai ke destinasi yang dituju,” katanya.