PETALING JAYA: Rakyat Palestin menyambut permulaan Ramadan dalam keadaan serba kekurangan tanpa sebarang keperluan asas walaupun gencatan senjata di Gaza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, apa yang menyedihkan ada rakyat Palestin yang terpaksa berpuasa lebih lama dengan melupakan tempoh waktu berbuka.
Malah katanya, penduduk Palestin juga tidak dapat menyediakan menu berbuka sebagaimana di Malaysia disebabkan sumber yang sangat terhad dengan harga yang terlalu mahal.
“Mungkin sekadar air paip sebagai juadah untuk berbuka. Mereka tidak mempunyai wang. Malang untuk masyarakat Palestin yang kini berdepan pelbagai ujian untuk meneruskan kehidupan.
“Tiada perkara asas dan barangan keperluan untuk berbuka puasa. Malah, ia bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkannya. Bagaimanapun, rakyat Palestin tabah kerana tahu ini semua ujian Allah SWT untuk hambanya,” katanya semalam.
Dalam pada itu Walid berkata, rakyat Gaza semakin terdesak dan amat memerlukan bantuan terutama daripada negara lain bagi memenuhi keperluan asas yang berkurangan.
Katanya lagi, keadaan penduduk di Palestin jauh berbeza dari negara Islam lain yang teruja menyambut bulan puasa serta berpuasa sepanjang hari.
“Sudah menjadi kelaziman untuk menyediakan hidangan utama di rumah. Bagaimanapun, disebabkan keadaan semasa, banyak hidangan sampingan dan minuman tidak lagi boleh didapati di pasaran.
“Makanan tradisional yang sering dihidangkan tiada di pasaran kekurangan bahan mentah,” jelasnya. – UTUSAN