ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pemimpin pembangkang akan menjadi kelompok paling ramai ditahan jika pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mengganggu keharmonian masyarakat.
Justeru, beliau menggesa semua pihak khususnya pemimpin politik agar tidak mengeksploitasi isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) demi kepentingan politik kerana retorik itu boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Jika saya atau pihak polis mengguna pakai seksyen di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi atau undang-undang berkaitan lain berdasarkan aduan dan bukti, kawan-kawan Yang Berhormat Takiyuddin paling ramai akan kena tangkap (berkaitan keharmonian masyarakat),” katanya pada sidang akhbar Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pokok Sena, semalam.
Saifuddin berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam isu keharmonian masyarakat.
Takiyuddin berkata, tanpa tindakan tegas, telus serta adil, persepsi buruk terhadap kerajaan akan terus memburuk dan memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk mencetuskan keadaan lebih tegang.
Ujar beliau, Pas konsisten dengan pendirian bahawa Islam sebagai agama Persekutuan yang perlu dimartabatkan, selari dengan dasar parti yang menekankan sikap saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum.
Sementara itu, Saifuddin berkata, parti-parti politik di negara ini sepatutnya berlawan daripada segi dasar dan program agar dapat menyelesaikan masalah rakyat.
“Ini dia bawa isu kaum dan agama, kemudian dia kata tak perlu salahkan orang. Hari ini bukan program (anjuran JPN) untuk salahkan orang. Ini program menyelesaikan masalah orang, jadi lebih baik kita berlawan secara politik dasar,” katanya. – UTUSAN